
Empat hari telah pun berlalu selepas Malaysia meraih tga mata pertama menentang Kemboja di Phnom Penh, kini tumpuan terarah di Bukit Jalil malam esok dimana Malaysia perlu memburu tiga mata kedua ketika melayan kunjungan Laos.
Tiada perbezaan dalam skuad Malaysia ketika ini, kesemua pemain tampak bersemangat untuk merealisasikan misi meraih mata maksima dalam dua perlawanan pertama seperti yang dinyatakan Tan Cheng Hoe.
Ditambah kemenangan 1-0 ke atas Kemboja sedikit sebanyak memberikan kelegaan meskipun banyak kekurangan yang perlu diperhalusi.
Tan Cheng Hoe ketika sesi latihan semalam menjelaskan, fokus utama beliau ketika ini untuk memperbaiki teknik hantaran.
“Perlawanan pertama agak sukar untuk kami, kali ini saya akan memfokuskan untuk memperbaiki teknik hantaran untuk memastikan tidak banyak kesilapan yang berlaku nanti.
“Pasukan Laos terdiri daripada pemain pemain yang muda dan apa yang boleh saya katakan, kami perlu berwaspada dengan serangan balas mereka,”kata Cheng Hoe.
Malaysia menghuni tangga ke kedua, berkongsi tiga mata dengan Vietnam, dibezakan menerusi jumlah gol manakakala Kemboja dan Laos dikedudukan dua tercorot.
Matlamat yang sama di suarakan penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang mengharapkan Malaysia tidak tercicir mata dilaman sendiri.
“Kita akan bermain di tempat sendiri dan kemenangan amat penting untuk pasukan kerana ia juga matlamat jurulatih (Tan Cheng Hoe) agar tidak memilih laluan yang sukar,”kata Sumareh.
Selepas aksi menentang Laos, Malaysia dijangka terbang ke Hanoi pada 14 November bagi menghadapi ujian ketiga, menentang Vietnam. KU MOHD LUFTI

































